Pupuk minat jadi usahawan(cendawan)
MUAR 25 Nov. – Seramai 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bakri Batu 5 di sini memperoleh
pengalaman berfaedah dan baru apabila melawat projek tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan seorang kontraktor, Rashid Elias di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini baru-baru ini.
Hampir tiga jam, murid-murid tahun 5 dan 6 dari Sekolah Lestari itu yang terbabit dalam projek
memulihara alam sekitar didedahkan dengan teknik penghasilan cendawan yang kini semakin
mendapat tempat dalam bidang pertanian negara.
Projek lawatan murid sekolah ke projek tanaman cendawan itu adalah hasil idea Rashid, 38, bagi
membantu mendedahkan tanaman itu kepada generasi muda seawal peringkat sekolah lagi.
“Saya ingin menanam minat di kalangan murid sekolah supaya menceburi bidang pertanian ini dan melihat sendiri cendawan yang dulunya hanya dikutip di kawasan-kawasan pedalaman, kini
mampu menjadi satu industri perniagaan.
“Dengan sokongan daripada pihak sekolah, lawatan yang dibuat ini walaupun singkat tetapi saya
yakin mampu menghasilkan minat di kalangan pelajar untuk menceburinya suatu hari kelak,”
katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan murid sekolah itu di sini baru-baru ini.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ismail
Mohamed yang turut memberikan ucapan semangat kepada pelajar supaya menceburi
bidang pertanian seperti perusahaan cendawan yang semakin mendapat permintaan pasaran.
Rashid pada asalnya hanya menjalankan tugas sebagai seorang kontraktor untuk membina
beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.
Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, beliau tertarik dan
bertekad untuk menceburi bidang penanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya
di Kampung Tengah di sini sejak awal tahun ini.
Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh
Rashid merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini
selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.
Menurutnya, berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah
cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun di atas rak-rak kayu.
“Saya berminat untuk menceburi perusahaan cendawan tiram ini selepas melihat tanaman ini mampu
memberikan pulangan yang lumayan, tetapi bidang itu masih belum dikuasai usahawan bumiputera
dan saya menganggap ini sebagai satu cabaran.
“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman
cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi
menyeronokkan,” katanya.
Menerusi syarikat Wirajaya Marketingyang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu
sejak 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri
daripada penduduk kampung terbabit.
Selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, beliau percaya, tanaman cendawan
yang diusahakannya itu mampu memenuhi pasaran petani dan peniaga tempatan di sekitar daerah ini
dan kawasan berdekatan termasuk Segamat dan Batu Pahat.
Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta
beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian yang digunakan bagi mengelak
daripada ia menjadi masam.
Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan
dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran
15.8 sentimeter x 36.2 sentimeter.
“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan
selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.
“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55
ingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.
Projek tanaman cendawan yang diusahakan oleh Rashid ini mendapat sokongan padu daripada
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani suatu ketika dulu.
Selain murid dari SK Bakri Batu 5, seramai 100 murid dari SK Ismail 2 di sini pernah melawat pusat tanaman cendawannya selain penganjuran seminar dan kursus tanaman cendawan kepada
mereka yang berminat.
There are no threads for this page.
Be the first to start a new thread.